Showing posts with label asas dslr. Show all posts
Showing posts with label asas dslr. Show all posts

Friday, January 28, 2011

Asas DSLR: Kelajuan Shutter

Kelajuan shutter (shutter speed) mengawal jumlah pergerakan dalam foto, sama ada mematikan gerakan ahli sukan atau foto malam yang dramatik.

Apakah Kelajuan Shutter?


Kelajuan shutter ialah berapa lama sensor dalam kamera didedahkan kepada cahaya. Ia seperti kerdipan mata. Ia disukat dalam saat atau lebih tepat lagi, pecahan saat. Terdapat banyak kelajuan yang boleh digunakan oleh DSLR anda tetapi untuk fotografi, yang penting adalah:

1/4, 1/8, 1/15, 1/30, 1/60, 1/125, 1/250, 1/500

Bergerak ke kanan, jumlah cahaya dibahagi dua. Misalnya, kelajuan 1/30 melepaskan cahaya hanya separuh berbanding 1/15.

Bergerak ke kiri, jumlah cahaya diganda dua. Dari 1/30 ke 1/15, jumlah cahaya adalah 2 kali lebih banyak.

Terdapat juga setting kurang dari 1/4 saat sehingga mencapai 30 saat. Terdapat juga setting B (Bulb) pada kamera yang membolehkan shutter dibuka selagi butang ditekan. Ini amat berguna untuk mengambil gambar jalur cahaya, dan bunga api.

Aplikasi kelajuan shutter pantas.


Aplikasi kelajuan shutter lambat.

Apa Pentingnya Kelajuan Shutter


Untuk mengambil gambar yang tajam, anda perlu tahu kelajuan yang 'betul'. Gambar kabur terhasil dari (1) anda atau subjek bergerak, atau (2) kelajuan shutter terlalu perlahan. Pergerakan yang amat kecil pada DSLR pun akan menjejaskan gambar, sebab itu kamera tidak boleh terlalu ringan. Kamera yang cukup berat amat stabil dan tiada gegaran bila dipetik.

Untuk kit lensa biasa, pastikan shutter 1/60 saat atau lebih (1/125, 1/250 dan seterusnya).

Untuk anda yang bertuah mempunyai lensa lebih panjang, petua yang digunakan ialah shutter mesti lebih pantas dari panjang fokus. Contohnya, bagi kamera full-frame yang menggunakan lensa 200mm, pastikan shutter lebih pantas dari 1/200 saat, iaitu 1/250, 1/500, 1/1000 dan seterusnya. Bagi kamera APS/DX, darabkan panjang fokus dengan 1.5 untuk mendapat panjang fokus berkesan (effective focal length = EFL). Dengan lensa 200mm, EFL = 200 x 1.5 = 300mm. Pastikan shutter lebih pantas dari 1/300 saat.

Apabila menggunakan penstabil imej (VR untuk Nikon, IS untuk Canon dsb), setiap lensa boleh mampu menghasilkan gambar jelas pada shutter lebih perlahan. Katakan anda menggunakan lensa Nikon 18-200 VR2 dengan penstabilan 4 f-stop. Sepatutnya pada 200mm, shutter perlu berada pada 1/300 saat, tetapi bila VR dihidupkan lensa masih boleh menghasilkan gambar jelas pada 4 f-stop lebih perlahan. Berapa nilainya? Bahagi 2 sebanyak 4 kali. Dari 1/300 -> 1/150 -> 1/75 -> 1/38. Maknanya pada 200mm, anda masih boleh menggunakan shutter 1/38 ke atas (yakni 1/60, 1/125, dsb).

Dengan tripod, anda boleh mengambil gambar pada sebarang kelajuan shutter. Jika ada penstabil imej, lebih baik dimatikan dahulu. Untuk gambar lebih tajam, gunakan self-timer 1 atau 2 saat supaya gegaran semasa petikan tidak direkodkan. Atau boleh gunakan remote.

Sunday, January 2, 2011

Apakah DSLR?

Istilah DSLR adalah ringkasan bagi digital single lens reflex. Nama ini timbul kerana kamera jenis ini menggunakan satu cermin di belakang lensa untuk mengarahkan cahaya ke penenang (viewfinder) semasa melakukan komposisi foto. Apabila shutter dipetik, cermin berayun dengan pantas memberi laluan kepada cahaya dari lensa ke sensor dan menggelapkan penenang buat seketika. Penenang dalam DSLR biasanya mengandungi prima -- biasanya pentaprisma -- yang memusingkan imej supaya bahagian atas imej kelihatan di atas. Dari sini datangnya istilah "reflex" atau pantulan.

Rekabentuk DSLR membenarkan satu kamera menampung pelbagai panjang fokus, dan inilah sebab utama SLR popular dalam fotografi serius. Kenapa? Dengan kamera bukan SLR, sudut pandangan lensa yang mengambil foto mesti dipadankan dengan lensa yang digunakan untuk memenang. Ini perkara mudah untuk lensa tetap atau zoom pendek, tetapi sistem pemadanan menjadi kompleks dan mahal apabila kamera menggunakan zoom panjang. Dengan SLR, masalah ini tidak berlaku kerana lensa pengambil dan lensa penenang adalah lensa yang sama. Dari sinilah datangnya istilah "single lens".

Kebanyakan DSLR kini mempunyai mode Live View, yang membolehkan jurufoto menggunakan LCD untuk komposisi foto sama dengan "kamera tunjuk dan petik" (point-and-shoot camera). Kaedah paling mudah ialah mengunci cermin ke atas, dan prisma mengalihkan imej ke suatu sensor kecil yang boleh dipantau dari LCD, bukan ke sensor penangkap. Ini sebenarnya melambatkan prestasi.

Jenis-jenis DSLR

DSLR sejati. Yang dikatakan DSLR mesti mempunyai cermin dan prism. Mempunyai optical viewfinder yang memberikan imej serupa yang dilihat oleh sensor. Contoh: kebanyakan DSLR dari Nikon, Canon, Pentax, Sony dan Olympus.



EVIL (= setan?) dari perkataan Electronic Viewfinder Interchangeable Lens. Tiada pentaprisma dan tiada cermin (maka tiada optical viewfinder sebaliknya hanya ada LCD di belakang dan sekali-sekala ada electronic viewfinder) tetapi lensa boleh diganti. Contoh: kamera Micro Four-Thirds seperti Olympus E-P1 dan Lumix G1, Sony siri NEX dan Samsung siri NX. Kelebihan: lebih kecil dan ringan berbanding DSLR. Kekurangan: sukar digunakan semasa cahaya kelam.


Superzoom. Kamera biasa yang menggunakan electronic viewfinder (EVF) menggantikan pentaprisma. Bukan DSLR tulen kerana tiada cermin. Zoom range yang amat tinggi. Contoh: Panasonic Lumix FZ100 (24x = 35mm - 600mm) dan Canon SX30 (35x = 24mm - 840mm!). Kelebihan: lebih kecil dan ringan berbanding EVIL. Kekurangan: sensor kecil menghasilkan gambar yang kurang berkualiti kecuali semasa panas terik.



DSLR dengan lensa tetap. Mempunyai cermin dan prism seperti DSLR sejati tetapi lensa tidak boleh diganti. Jarang dijumpai. Contoh: Olympus E-20N.