Friday, January 28, 2011

Asas DSLR: Kelajuan Shutter

Kelajuan shutter (shutter speed) mengawal jumlah pergerakan dalam foto, sama ada mematikan gerakan ahli sukan atau foto malam yang dramatik.

Apakah Kelajuan Shutter?


Kelajuan shutter ialah berapa lama sensor dalam kamera didedahkan kepada cahaya. Ia seperti kerdipan mata. Ia disukat dalam saat atau lebih tepat lagi, pecahan saat. Terdapat banyak kelajuan yang boleh digunakan oleh DSLR anda tetapi untuk fotografi, yang penting adalah:

1/4, 1/8, 1/15, 1/30, 1/60, 1/125, 1/250, 1/500

Bergerak ke kanan, jumlah cahaya dibahagi dua. Misalnya, kelajuan 1/30 melepaskan cahaya hanya separuh berbanding 1/15.

Bergerak ke kiri, jumlah cahaya diganda dua. Dari 1/30 ke 1/15, jumlah cahaya adalah 2 kali lebih banyak.

Terdapat juga setting kurang dari 1/4 saat sehingga mencapai 30 saat. Terdapat juga setting B (Bulb) pada kamera yang membolehkan shutter dibuka selagi butang ditekan. Ini amat berguna untuk mengambil gambar jalur cahaya, dan bunga api.

Aplikasi kelajuan shutter pantas.


Aplikasi kelajuan shutter lambat.

Apa Pentingnya Kelajuan Shutter


Untuk mengambil gambar yang tajam, anda perlu tahu kelajuan yang 'betul'. Gambar kabur terhasil dari (1) anda atau subjek bergerak, atau (2) kelajuan shutter terlalu perlahan. Pergerakan yang amat kecil pada DSLR pun akan menjejaskan gambar, sebab itu kamera tidak boleh terlalu ringan. Kamera yang cukup berat amat stabil dan tiada gegaran bila dipetik.

Untuk kit lensa biasa, pastikan shutter 1/60 saat atau lebih (1/125, 1/250 dan seterusnya).

Untuk anda yang bertuah mempunyai lensa lebih panjang, petua yang digunakan ialah shutter mesti lebih pantas dari panjang fokus. Contohnya, bagi kamera full-frame yang menggunakan lensa 200mm, pastikan shutter lebih pantas dari 1/200 saat, iaitu 1/250, 1/500, 1/1000 dan seterusnya. Bagi kamera APS/DX, darabkan panjang fokus dengan 1.5 untuk mendapat panjang fokus berkesan (effective focal length = EFL). Dengan lensa 200mm, EFL = 200 x 1.5 = 300mm. Pastikan shutter lebih pantas dari 1/300 saat.

Apabila menggunakan penstabil imej (VR untuk Nikon, IS untuk Canon dsb), setiap lensa boleh mampu menghasilkan gambar jelas pada shutter lebih perlahan. Katakan anda menggunakan lensa Nikon 18-200 VR2 dengan penstabilan 4 f-stop. Sepatutnya pada 200mm, shutter perlu berada pada 1/300 saat, tetapi bila VR dihidupkan lensa masih boleh menghasilkan gambar jelas pada 4 f-stop lebih perlahan. Berapa nilainya? Bahagi 2 sebanyak 4 kali. Dari 1/300 -> 1/150 -> 1/75 -> 1/38. Maknanya pada 200mm, anda masih boleh menggunakan shutter 1/38 ke atas (yakni 1/60, 1/125, dsb).

Dengan tripod, anda boleh mengambil gambar pada sebarang kelajuan shutter. Jika ada penstabil imej, lebih baik dimatikan dahulu. Untuk gambar lebih tajam, gunakan self-timer 1 atau 2 saat supaya gegaran semasa petikan tidak direkodkan. Atau boleh gunakan remote.

No comments:

Post a Comment