Saturday, December 12, 2009

Kenapa Beli DSLR?

Terdapat dua kategori utama kamera digital iaitu Point and Shoot (PnS) dan Digital Single Lens Reflex (DSLR).

Saya menggunakan kedua-dua kamera PnS (Canon S5 IS) dan DSLR (Nikon D90). Kedua-duanya saling melengkapi dan berguna untuk situasi berbeza. Untuk kualiti, DSLR dipilih tetapi PnS lebih mudah dibawa.

Industri kamera digital sentiasa berubah. Setiap kategori meminjam ciri kategori yang lagi satu.

Megapixel bukan Segalanya

Satu salah tanggapan yang kerap didengar mengguna kamera digital ialah megapixel adalah penentu utama kualiti kamera.

Megapixel BUKAN segalanya. Walaupun PnS boleh mencapai 12 megapixel, bukan bermakna ia lebih baik dari DSLR dengan hanya 6 megapixel.

Kenapa ini berlaku ialah saiz sensor imej yang digunakan dalam PnS jauh lebih kecil dari sensor imej DSLR. Kadang-kadang bezanya hingga 25 kali. Ini bermakna setiap pixel dalam PnS terpaksa dikecilkan dan mengumpul jumlah photon yang sedikit. Jika kita mengambil gambar dalam keadaan kurang cahaya, imej menjadi lebih berbintik-bintik (terdapat 'hingar').


Untuk tujuan perbincangan, DSLR di sini dianggap kamera yang boleh menukar lensa. DSLR yang asal mempunyai cermin pantulan (reflex mirror) yang membolehkan kita melihat imej secara langsung. Apabila dipetik, cermin naik ke atas membolehkan sensor imej menangkap imej. Beberapa kamera hari ini yang menggunakan standard micro Four-Thirds membolehkan kita melihat imej menerusi lensa tetapi tidak mempunyai cermin, jadi bukan DSLR tulen.

Janganlah beli DSLR jika kita merancang untuk menggunakan dalam mod Automatic. DSLR adalah mahal yang membantu mengambil imej yang menakjubkan, tetapi hanya jika kita mempunyai masa dan kesabaran untuk belajar dan berkarya.

OK, ini 10 sebab kenapa kita patut beli DSLR.

  1. Kualiti imej -- DSLR dengan sensor lebih besar menghasilkan gambar yang kurang hingar. Dengan PnS, hingar akan kelihatan pada setiap setting ISO, malah pada setting terendah. Dengan DSLR, kita boleh menghasilkan gambar yang boleh tahan walau pun pada setting ISO yang tinggi.
  2. Kawalan kreatif -- DSLR mempunyai banyak setting yang boleh diubahsuai: kelajuan shutter, aperture, imbangan putih, ketajaman, kontras, sinkronisasi flash, dan banyak lagi... Pada DSLR mahal, terdapat banyak butang di hujung jari membolehkan kita menukar setting tanpa masuk ke menu.
  3. Aksesori -- DSLR boleh menggunakan pelbagai lensa dan akseori membolehkan banyak kemungkinan. Kebanyakan PnS hanya mempunyai zum optikal 3x, tetapi DSLR boleh dipasang dengan lensa sudut luas ke super telephoto bergantung keperluan dan bajet. Tambah lagi aksesori lain seperti flash, filter, remote control etc menjadikan DSLR sesuai untuk pelbagai situasi. Jangan lupa terdapat pelbagai tahap kualiti lensa, dan kualiti imej bergantung sangat kepada kualiti lensa.
  4. Pantas -- 'Shutter lag' ialah lengah antara masa memetik shutter dan masa imej sebenarnya dirakam. Dengan DSLR, boleh dikatakan tiada shutter lag.
  5. Kualiti Badan -- Kebanyakan PnS dibuat dari plastik, plastik dan lagi lagi plastik. Rasanya macam tak kukuh dan memang mudah pecah. DSLR dibina dengan standard lebih tinggi. Terdapat DSLR murah yang dibuat dengan plastik tetapi lebih tahan dari PnS yang berharga sama. DSLR berharga RM5000 mempunyai badan berteraskan logam (Nikon D300, Canon 40D, dsb). Badan profesional paling mahal adalah yang paling tahan lasak dan tahan air. Mana ada jurufoto perang menggunakan PnS?
  6. Viewfinder -- Ramai pengguna PnS menganggapnya suatu kelemahan apabila melihat imej melalui viewfinder sebelum memetik. Pada hakikatnya ini suatu kelebihan. Melihat gambar melalui viewfinder membolehkan kita melihat bahagian imej yang dalam fokus, tanpa silau pada LCD. Barulah WYSIWYG (what you see is what you get)!
  7. Bokeh yang cantik -- Disebabkan sensor imej lebih besar, depth-of-field lebih sempit. Ini membolehkan kita mengambil gambar dengan latar belakang yang kabur (bokeh) yang cantik.
  8. Ergonomik -- DSLR lebih besar dan ada tempat genggam tangan membolehkan kita memegang kamera pada tempoh yang lama dengan selesa. Kamera murah tempat genggamnya kecil. Inilah sebab kenapa saya membeli Nikon D90 bukan Canon 450D.
  9. Tak jatuh harga -- DSLR amnya tak jatuh harga berbanding PnS. Model-model DSLR kurang diganti berbanding PnS. Contohnya, Nikon D90 saya kekal pada harga RM4000 walaupun selepas setahun berada di pasaran.
  10. Lensa berkualiti -- Amnya lensa DSLR lebih baik berbanding lensa PnS. Lensa DSLR lebih besar, dan terdapat lebih kaca untuk meningkatkan kualiti. Belilah lensa terbaik yang termampu. Jika ada dana lebih, belilah lensa bukan badan DSLR. Lensa tahan lebih lama dan harganya kurang jatuh berbanding badan DSLR. Untuk menjimatkan kos, beli saja lensa terpakai dan layarilah lelaman jualbeli seperti FTZ, Mudah.my dan forum PhotoMalaysia.



DSLR = berat.

Kelemahan DSLR:

  1. Mahal -- Walaupun harga DSLR murah menyamai PnS mahal, anda selalunya akan membeli lensa dan aksesori lain.
  2. Besar & berat -- Ada masanya PnS lebih sesuai kerana boleh dibawa dalam tas tangan atau dalam poket.
  3. Penyengaraan -- Habuk boleh masuk kamera setiap kali menukar lensa, dan DSLR lebih baik dihantar ke pusat servis untuk mencuci sensor secara profesional.
  4. Bising - PnS biasanya boleh mengambil gambar secara senyap-senyap.
  5. Kompleks -- DSLR direka untuk operasi manual maknanya kita perlu tahu fungsi setiap butang.
  6. Mungkin tiada Live LCD -- Dalam kebanyakan DSLR, viewfinder satu-satunya cara melihat imej. Ada DSLR yang menggunakan Live LCD tetapi selalunya pemfokusan tidak sepantas PnS.

No comments:

Post a Comment